Wednesday, October 7, 2009

Why Can't We?






Persoalan utama yang ingin dilontarkan dalam entri kali ini adalah "kenapa kita tidak memaksimakan penggunan otak yang dikurniakan tuhan?". Berbalik kepada realiti, umum mengetahui, kebanyakan remaja di Malaysia yang memasuki universiti hanya mengambil satu kos sahaja. Persoalan saya ialah, mengapa mereka tidak mengambil dua, bahkan tiga kos sekaligus? Sekiranya undang-undang melarang perkara sedemikian, adakah kita mempunyai kemahuan untuk mengambil perkara yang diluar bidang kita? Pekara yang kita langsung tidak tahu mengenainya? Adakah kita juga dihalang daripada menuntut ilmu diluar bidang kita? Saya serahkan kepada anda untuk menjawab soalan-soalan seperti ini.



Sebelum saya meneruskan dengan lebih lanjut, ingin saya memberikan beberapa fakta untuk anda semua. Otak manusia mempunyai dua hemisfera iaitu kanan dan kiri. Saintis, jurutera dan penterjemah adalah antara yang menggunakan otak kiri. Manakala pelukis, penyair, penulis novel dan ahli muzik lebih menggunakan otak kanan mereka. Einstein dan Leonardo da Vinci merupakan antara contoh mereka yang berjaya menggabungkan otak kiri dan otak kanan. Einstein, disebalik kehebatannya sebagai pakar matematik dan fizik, beliau juga hebat bermain biola. Menurut Einstein dalam filem E=mc2, The World Famous Equation, sekiranya beliau tidak diberi peluang untuk menjadi ahli fizik, beliau mungkin akan menjadi pemain biola dan kita hanya akan mengenali Einstein selaku pemain biola professional. Leonardo da Vinci pula dilihat selaku orang yang mahir dalam pelbagai bidang. Sumber menyatakan bahawa Da Vinci merupakan ahli botani, arkitek, inventor, pakar matematik, saintis malah karya agungnya iaitu Mona Lisa menunjukkan bahawa beliau juga merupakan seorang pelukis terkenal.



Persoalan yang kedua, mengapakah mereka boleh menuntut ilmu sedemikian rupa walhal kita disini menyatakan "itu bukan bidang saya" atau "saya tiada bakat"?. Adakah kita hanya perlu tahu apa yang ada dalam bidang kita sahaja? Walaupun otak kita mampu untuk mengusung semua ilmu yang ada dalam dunia ini? Kajian menyatakan manusia umumnya hanya menggunakan 10% daripada keseluruhan potensi otak mereka. Apa yang terjadi dengan selebihnya? Jawapan yang sesuai untuk diberikan adalah sifat negatif yang menutup otak kita daripada melihat. Ayat-ayat seperti di atas sebenarnya hanyalah alasan untuk menutup kelemahan diri kita. Melihat kepada contoh di atas, sekiranya kita membaca mengenai sejarah hidup mereka, kita akan berjumpa dengan betapa gigihnya usaha mereka dalam menuntut ilmu. Einstein juga pernah bekerja sebagai kerani namun kerjayanya yang itu tidak menghalang usaha beliau menuntut ilmu seterusnya menghasilkan formula E=mc2, formula yang mencetuskan revolusi sains di zamannya.

Kepada yang beragama Islam, telah banyak hadis yang menunjukkan betapa pentingnya ilmu. "Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China" dan "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad" merupakan antara hadis yang menekankan betapa pentingnya ilmu. Persoalannya, mengapa negeri China? Jawapannya, walaupun jauh, kerana negeri China merupakan pembuat kertas, kita diwajibkan untuk menuntut ilmu membuat kertas ini. Kertas pada zaman dahulu merupakan alat untuk merekod segala macam kegiatan yang membolehkan generasi masa kini menatap apa yang terjadi pada zaman dahulu. Berbalik kepada tajuk utama kita, mengapa kita tidak mahu mempelajari ilmu yang berada di luar bidang kita? Jawapannya mudah, kerana kita tidak yakin kita boleh. Misalnya, seorang yang mengambil bidang kejuruteraan akan menyatakan bahawa bidang kedoktoran memerlukan daya ingatan yang tinggi di mana mereka ini tidak yakin dengan daya ingatan mereka. Contoh lain, bidang muzik akan ditolak sama sekali oleh orang yang hebat dalam sains dan matematik kerana mereka tidak yakin mereka mampu untuk mengambil bidang tersebut.

Cuba fikirkan sejenak mengenai perkara ini. Mengapa kita tidak mengambil beberapa bidang sekaligus. Dalam buku Atom, karya Piers Bizony, dalam bukunya menceritakan mengenai seorang saintis (Heisenberg jika saya tidak silap) yang apabila ditanya "How would you like your coffee, sir? With sugar or with milk?". Beliau menjawab, "Why can't I have both?", sebelum rakan-rakannya mentertawakannya (Pada zaman ini kopi hanya diminum bersama gula atau bersama susu). Namun, apa yang perlu kita lihat disini ialah jawapan saintis tersebut, kenapa kita tidak boleh mengambil kedua-duanya sekali? Saya menyerahkan tugas untuk memikirkan perkara ini kepada anda. Itupun jika anda mahu berfikir kerana menurut Henry Ford, "Thinking is the hardest work there is, which is probably the reason so few engage in it".

Sekian buat entri kali ini, terima kasih kerana membaca.







No comments:

Post a Comment