Thursday, August 13, 2009

Solat dan Tindak Balas Santai

*This post is in Bahasa Melayu (don't try to translate it)





Tindak balas santai terjadi melalui penurunan dari segi penggunaan oksigen oleh tubuh. Tubuh tidak bekerja dengan kuat di dalam keadaan santai ini. Ketika tubuh dalam keadaan tindak balas santai ini, otak akan menunjukkan gelombang alfa. Ini bermakna, otak akan berada dalam keadaan jelas, tenang, rehat tetapi bersedia melakukan sesuatu. Herbert Benson, antara doktor terawal yang menggunakan spiritualiti dalam bidang perubatan Eropah menyatakan bahawa tindak balas santai ini sebenarnya digunakan oleh orang zaman dahulu sebagai salah satu teknik perubatan yang digunakan untuk mencegah diri dari penyakit, jauh sebelum teknik kedoktoran moden merawat pelbagai jenis penyakit masa kini.
Syarat bagi mendapatkan keadaan bersantai ini ada 4:
  1. Kita mestilah berada dalam persekitaran yang tenang
  2. Menetapkan satu objek bagi memusatkan perhatian
  3. Bersikap pasif (pasrah)
  4. Berada dalam keadaan yang aman dan damai
Makanan Otak:
  • Makanan berkhasiat seperti kismis, kekacang dan madu
  • Sentiasa berfikir dengan rasional
  • Menata atau menjaga perasaan
  • Mempertingkatkan tahap kerohanian
  • Melatih tubuh dan pancaindera
Di antara cara untuk mendapat keadaan tindak balas santai ini adalah dengan bertafakur dan menenangkan fikiran. Malah menurun Herbert Benson lagi, kombinasi di antara teknik santai yang baik beserta kuatnya keyakinan merupakan antara kunci bagi menjayakan proses santai ini. Contoh yang diberikan oleh Benson ialah doa (di dalam beberapa agama) yang boleh menjadi kata fokus ketika seseorang itu bertafakur. Benson juga sering berulak alik ke Tibet bagi mempelajari teknik bertafakur ahli yoga Tibet. Namun bagi kita masyarakat Islam, solat merupakan medium terbaik kita bagi mendapatkan keadaan tindak balas santai ini.

Solat yang dilakukan secara serius boleh mendatangkan kesan tindak balas santai tubuh yang baik. Niat yang ikhlas yang dibacakan ketika hendak memulakan solat merupakan permulaan yang baik dalam memunculkan tindak balas santai daripada tubuh. Tekad atau ikrar yang diucapkan semasa bacaan doa iftitah pula mampu membuatkan seseorang itu memberikan penumpuan dalam fikiran. Konsentrasi fikiran juga merupakan salah satu faktor penting dalam solat sekaligus, dalam erti kata lain, ia juga merupakan kunci sesebuah ketenangan.

Penumpuan fikiran yang berpadu dengan gerakan teratur solat menghasilkan tidak balas tubuh, menurunkan tekanan darah atau menjadikan denyutan nadi berjalan dengan teratur. Gerakan solat itu sendiri adalah fisiologi tubuh. Ini bermakna, gerakan-gerakan ini adalah alamiah yang mengikut bentuk anatomi tubuh bagi memastikan gerakan-gerakan ini tidak aneh dan janggal bagi tubuh. Jika kita lihat kembali proses solat ini dengan syarat serta "makanan" otak ini, kita dapat menyaksikan betapa solat itu memenuhi segala aspek yang diperlukan bagi memastikan kesihatan tubuh dan ketenangan fikiran. Dua perkara ini sebenarnya merupakan kunci bagi memastikan kejayaan hidup insyaALLAH di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya ALLAH itu lebih mengetahui. Terima kasih kerana membaca.

*Info diambil dan diadaptasi daripada buku REVOLUSI IQ-EQ-SQ karya Taufik Pasiak (2008) yang diterjemahkan kedalam bahasa Melayu oleh PTS Millennia Sdn. Bhd.

1 comment:

  1. menarik.
    papepun, solat menenangkan jiwa.
    sbg umat islam, kite perlu percaye.
    kdg2 wlupun kite solat, kite still wat jht.
    sbb ape?
    sbb kite tak khusyuk sepenuhnya dn tak btul2 mghambakan diri kpd Allah taala.

    Wallahualam..

    ReplyDelete