Monday, January 11, 2010

2 Fenomena Di Kotak Masa.


Fenomena 1

Setelah penat seharian membeli belah di Plaza Low Yat, saya mengambil keputusan untuk pergi ke Time Square untuk merehatkan diri di samping menunaikan solat. Setelah mengambil wudhu’ dan hendak memulakan solat, terlihat kelibat seorang pak cik, berkulit gelap, berjambang dan memakai baju kemeja putih berserta seluar slack hitam. Dia membawa seorang anak dalam lingkungan 3 tahun. Pak cik itu baru sahaja selesai menunaikan solat sunat. Sebelum dia memulakan solat fardhunya, pak cik tersebut melihat-lihat sekeliling mencari siapa lagi yang mahu menunaikan solat. Lalu datang kepadanya seorang remaja yang pada agakan saya dalam lingkungan 20-an. Terus pak cik tersebut mengalunkan iqamat dan menyuruh pemuda terbabit menjadi imam. Dalam keadaan terpinga-pinga dan bingung, pemuda terbabit bersungguh-sungguh menolak pelawaan untuk menjadi imam kepada pak cik tadi. Persoalannya, kenapa pemuda terbabit bersungguh-sungguh tidak mahu menjadi imam walaupun dia tahu bahawa pak cik itu sudah mengalunkan iqamat?

Fenomena 2

Setelah selesai solat, saya mengangkat semua barang yang dibeli sebentar tadi lalu keluar dari surau tersebut. Lebih kurang 20 langkah meninggalkan surau tersebut, terlihat oleh saya akan sepasang kekasih yang berpegangan tangan, sangat mesra tampaknya apabila si gadis dengan selamba mencubit pasangannya itu. Saya hanya memerhatikan gelagat mereka sehingga mereka berjalan melepasi saya dan menuju ke arah surau. Saya masih memerhatikan mereka. Apabila mereka belok sahaja kearah surau dengan pantas pasangan tersebut berhenti bermesraan sebaliknya berlagak seolah-olah kawan biasa. Persoalannya, kenapa mereka tidak malu untuk bermesra-mesraan di khayalak ramai tetapi malu untuk bermesra di kawasan surau? Adakah mereka merasakan bahawa ALLAH yang Maha Melihat itu hanya berada di kawasan surau dan masjid?

Persoalan yang lebih besar mengenai kedua-dua fenomena di atas – mengapa semua yang melakukan perbuatan tersebut ialah orang melayu? Dalam fenomena pertama, saya tidak mencari sebab kenapa pemuda itu menolak perlawaan tersebut tetapi agak hairan kerana saya tahu bahawa mereka lebih senang untuk mengikut, bukan mengetuai. Dan daripada alasan inilah muncul jawapan untuk fenomena kedua. Kaum melayu sangat mudah terpengaruh dan dipengaruhi oleh anasir-anasir yang tidak baik. Jika dilihat dalam fenomena kedua, mereka bermesra-mesraan seperti mana yang dilakukan di kawasan Barat dan kerana bimbang akan pandangan negatif orang lain terhadap mereka, mereka berhenti melakukan perbuatan seperti itu di tempat yang dianggap suci oleh orang melayu beragama islam. Persoalan yang paling besar untuk entri kali ini ialah, mengapa kita mudah terpengaruh dan dipengaruhi oleh sentimen-sentimen yang sebenarnya ingin menjahanamkan kaum kita sendiri? Saya biarkan jawapan itu kepada anda. Sekian.

No comments:

Post a Comment