Monday, January 18, 2010

Dilema Kaum Sendiri

Hi/salam

Entri ini buat kali ketiga berturut-turut saya menulis di dalam bahasa Melayu. Niat saya pada mulanya hendak menulis di dalam bahasa Inggeris namun pertemuan saya dengan En. Razali, seorang ahli jawatankuasa UMNO di Bagan Datoh, Perak, dan juga seorang ‘businessman’ membuatkan saya ingin menulis dalam Bahasa Melayu sekali lagi. Tajuk entri juga telah diubah. Pada asalnya saya ingin menulis mengenai perbezaan pandangan namun pertemuan saya dengan En. Razali telah membantutkan niat tersebut.

Saya pasti anda tertanya-tanya apa yang ada di dalam pertemuan saya dengan beliau yang membuatkan saya terus ingin menukar entri saya pada kali ini. Terlebih dahulu ingin saya menyatakan bahawa kata-kata beliau telah membuka mata saya dengan lebih luas malah membuatkan saya berfikir sejenak mengenai kebenaran kata-kata beliau itu. Sebelum itu, ingin saya nyatakan, walaupun En. Razali seorang yang saya kira aktif berpolitik, namun saya yakin kata-kata yang beliau cuba sampaikan kepada saya merupakan kata-kata yang sepatutnya dilemparkan kepada semua warga belia yang ada di Malaysia. Saya amat berharap agar apa yang saya cuba sampaikan kepada anda adalah sama dengan apa yang cuba disampaikan oleh beliau kepada saya.

Pembaca sekalian, kaum Melayu di Malaysia sebenarnya telah jauh terjerumus dari landasan yang diharapkan oleh suatu parti yang bersungguh-sungguh memperjuangkan taraf kaum ini. Kita melihat betapa kebanjiran artis-artis, lambakan gejala sosial, kes-kes jenayah, malah yang lebih menakutkan lagi ialah penurunan tahap pemikiran orang Melayu yang kini berada di paras membimbangkan. Jika anda berasa ragu-ragu dengan apa yang saya lontarkan ini, keluar dari bilik anda, lihatlah persekitaran anda dan laporkan apa yang anda lihat. Saya yakin apa yang saya katakan ini tidak salah. Ditambah pula dengan kebanyakan pelakunya adalah dari golongan belia. Perkara ini sebenarnya bukan tidak diperhatikan dan dikawal, tetapi ianya tidak berkesan kerana ketiadaan contoh yang sempurna bagi golongan belia pada masa kini.

Pada masa ini, En Razali lebih berfokuskan kepada bagaimana cara belia Melayu sekarang berfikir. Kata beliau “Budak muda sekarang ni semua nak senang je, handphone ada, semua ada, jadi mereka ni menjadi lebih malas untuk berfikir dan bertindak”. Lebih kurang begitulah kata-kata beliau kepada saya. Tersentak sebentar saya ketika itu, memikirkan betapa benarnya ayat tersebut. Mana tidaknya, jika diberi kelas tambahan, semua merungut, jika tiada kelas semua gembira, jika ada yang meminta kelas tambahan diadakan, semua merasa berat hati dan jelek terhadap orang tersebut. Di tambah lagi dengan longgokan alat-alat elektronik yang murah dan senang didapati, membuatkan mereka lebih terjebak kepada aktiviti-aktivit yang tidak membina daripada aktiviti yang membina. Komputer misalnya, digunakan untuk melihat cerita dan bermain game daripada melakukan sesuatu seperti mengkaji selidik subjek yang diambil atau menambahkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang lain.

Beliau menambah lagi “Cuba awak tengok orang zaman dahulu dengan orang zaman sekarang,” itu sahaja katanya. Saya menginterpretasi apa yang beliau katakan begini, orang melayu zaman dahulu lebih dihormati kerana pemikiran mereka yang matang dan jauh ke hadapan. Mereka mendapat sesuatu melalui usaha keras dan susah payah mereka, bukan seperti zaman sekarang, yang mengharapkan semua ilmu itu jatuh ke riba. Tambah beliau, Melayu masa kini sebenarnya dipandang rendah oleh kaum lain kerana apa? Kerana kebanyakan cerita-cerita buruk yang terpampang di dada akhbar melibatkan kaum melayu. Rasuah, jenayah, artis dan pelbagai lagi cerita lain di dalam akhbar kebanyakan wataknya adalah Melayu. Sebab itu kita dipandang rendah. Kita tinjau pula di pusat membeli-belah di MidValley atau di Time Square, kaum manakah yang membuat onar dan berpeleseran tanpa mempedulikan batas agama dan maruah bangsa?

Kata beliau lagi, “Awak masih muda lagi, kalau awak masuk jadi pemuda UMNO awak boleh berjuang untuk 20 tahun lagi. Jadi apa yang perlu awak buat? Cari sasaran yang lebih tinggi dan berusaha untuk mencapai sasaran tersebut. Jangan cepat berpuas hati dengan apa yang awak ada sekarang. Go further up but don’t forget to go and help people down below.” Sampai sahaja disini, saya terdiam seketika. Mencerna apa yang disampaikan beliau. Jika diingat balik, ketika saya bertanya kepada rakan-rakan saya tentang cita-cita mereka, ada antara mereka yang hanya menyebut satu profesion, “doktor, cikgu, engineer, pilot” adalah antara jawapan yang saya terima. Namun cita-cita tersebut sebenarnya bukan penamat, anda sepatutnya menetapkan sasaran yang lebih tinggi. Bak kata kebanyakan penceramah motivasi, sekiranya kita ingin menetapkan sasaran, tetapkan sasaran yang tinggi dan pastikan perkara-perkara yang kita lakukan sebagai sasaran kecil bergerak kearah sasaran besar tersebut.

Apa yang dilakukan orang Melayu ialah, mereka menetapkan sasaran yang sangat rendah dan cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai. Saya berikan contoh seperti pemegang biasiswa pembolehubah PETRONAS, mereka berpendapat bahawa dengan menerima biasiswa tersebut mereka sudah boleh memperoleh kerjaya apabila mereka tamat sahaja pengajian. Dengan gaji permulaan RM3500 mereka berpendapat itu sudah memadai bagi mereka dan tidak perlu berusaha dengan lebih keras lagi. Hasilnya, jadilah pelajar yang rajin bermain permainan video, menonton cerita sepanjang masa dan mendapat result yang sekadar melepasi syarat bagi pemegang biasiswa. Sikap cepat berpuas hati inilah yang sepatutnya dibuang dalam diri setiap orang Melayu khususnya dan umumnya kepada semua belia. Kerana sikap seperti ini membuatkan kita berada di taraf yang rendah dan bukan orang yang berada di kemuncak. Contoh lain, seorang pelajar perubatan yang apabila ditanya kerjayanya dijawab, “Sudah tentulah doktor.” Saya agak hairan kerana seorang pelajar perubatan yang tahu mengenai pelbagai cabang dalam bidangnya masih menjawab secara umum akan kerjayanya. Di sini kita dapat lihat betapa dia masih lagi tidak mengetahui cabang mana yang harus diambilnya. Ini juga boleh dikatakan sebagai cepat berpuas hati dengan sasaran yang ditetapkan.

Kepada graduan muda dan belia khususnya Melayu, sila tetapkan matlamat anda mulai sekarang. Carilah sasaran yang paling tinggi yang anda dapat bayangkan dan berusahalah ke arah itu. Jangan kita biarkan kaum lain memandang rendah kepada kita. Saya rasa anda juga dapat merasakan kebenaran kata-kata saya ini. Bukanlah saya kata kaum lain lebih bagus, mereka cuma memandang rendah kepada kita kerana kecetekan ilmu yang ada dalam diri anak-anak muda kita sekarang. Sekiranya tahap ilmu semakin berkurangan, saya bimbang, apabila sampainya generasi baru yang memerintah, kita berasa tidak selamat akibat kurangnya ilmu yang ada pada generasi tersebut. Juga, adalah di tangan kita untuk pastikan agar suasana produktif untuk kita dan anak-anak kita dibina agar, kaum kita tidak lagi dipandang hina malah turut mampu untuk mengangkat martabat negara. Sekian. Terima kasih.

*Entri ini bukanlah bertujuan menyangkal kempen 1Malaysia yang dicadangkan oleh PM kita, namun sekadar peringatan kepada belia kaum Melayu agar melengkapkan diri dengan agama dan meningkatkan martabat diri dengan ilmu. Entri ini juga bukan bersifat racism tetapi peringatan juga kepada semua kaum lain yang ingin mengambil pengajaran daripada entri ini. Penulis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang aktiviti terlarang yang menggunakan entri ini sebagai sumber maklumat. Sekian.

No comments:

Post a Comment