Wednesday, January 6, 2010

Apakah Cara Untuk Mengukur Manusia?

Hi/Salam.

Entri kali ini adalah dalam Bahasa Melayu.

Sebelum saya meneruskan dengan lebih lanjut mengenai tajuk kita pada kali ini ingin saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada rakan-rakan yang berjaya dalam peperiksaan semester lepas mereka. Tahniah juga diucapkan kerana mereka masih mampu meneruskan pelajaran seterusnya mengejar kerjaya yang diidamkan.

Keputusan peperiksaan akhir semester bagi pelajar UTP bakal diumumkan mungkin dalam minggu ini. Dalam keghairahan menanti keputusan peperiksaan yang tidak seberapa, teringat saya mengenai kata-kata seorang sahabat ketika ditanyakan keputusannya pada peperiksaan yang lepas, “Kau takpe, pandai, aku ni je yang kene struggle”. Persoalan saya ialah kenapa beliau mengeluarkan kenyataan seperti itu?

Kita masing-masing tahu bahawa ALLAH menjadikan setiap manusia itu sama. Jadi apakah perbezaan pandai dan bodoh atau kaya dengan miskin. Apakah banyak ilmu itu pandai dan banyak harta itu kaya? Sekiranya begitu, tidak hairanlah kebanyakan manusia di atas muka bumi masa kini mengejar ilmu untuk mendapatkan harta sahaja. Namun itu bukan menjadi persoalan pada entri kali ini. Persoalan besar yang ingin saya lontarkan ialah siapa atau apa cara yang patut digunakan untuk mengukur taraf seseorang individu?

Pelik, kerana kebanyakan yang saya tanya memberikan jawapan yang hampir serupa. “Taraf manusia hanya ditentukan oleh ALLAH”, “Aku rasa kita patut tengok taraf tu ikut kebahagiaan hidup orang tu”, “Entah”. Begitulah jawapan yang diberikan kepada saya. Saya menginterpretasi jawapan mereka begini, yang pertama berpendapat bahawa saya mengharapkan sesuatu yang berunsurkan teologi, yang kedua mengetahui bahawa saya sedang berfalsafah dan bermain kata manakala yang ketiga langsung tidak berminat dengan soalan yang diajukan. Berbalik kepada jawapan untuk soalan kita pada hari ini, tiada cara mahupun sistem yang ada sekarang mampu untuk mengukur taraf seseorang kerana tidak ada cara untuk membezakan sesuatu yang sama. Kenapa jawapan ini yang muncul dan saya katakan paling bernas setakat ini?

Saya yakin, anda mesti tertanya-tanya apakah yang saya maksudkan dengan membezakan sesuatu yang sama. Bendanya mudah, sekiranya system menyatakan dua lebih besar daripada satu, maka secara automatik, mengikut sistem tersebut, kita akan mengatakan bahawa 2 lebih besar daripada satu, kerana wujud perbezaan di antara dua nombor tersebut. Tetapi bagaimana pula sekiranya nombor tersebut adalah sama? Sudah tentu sistem tersebut tidak dapat membezakan nombor tersebut kerana ianya sama.

Sekiranya anda sudah memahami maksud saya di atas mungkin anda sudah tahu apakah yang saya maksudkan. Ya, telah saya sebutkan di awal entri ini bahawa semua manusia adalah sama, jadi tidak ada cara untuk membezakan antara satu sama lain melainkan dengan menggunakan sistem yang dibuat oleh ALLAH.

Bagaimana pula taraf mereka boleh sama? Sedangkan mereka sangat berbeza dari segi rupa, harta dan ilmu yang ada di dada? Saya katakan sama kerana setiap satu terdapat di satu tempat yang lain. Mungkin harta mereka bukan wang tetapi ilmu yang menggunung. Mungkin rupa mereka tidak menarik tetapi perwatakan mereka cantik. Mungkin ilmunya tidak tinggi tetapi kemampuannya untuk menyelesaikan masalah mungkin lebih baik. Daripada alasan-alasan ini saya katakana taraf semua manusia sebenarnya sama kerana setiap satu boleh digunakan untuk memperbaiki tempat lain yang kurang baik. Ilmu boleh digunakan untuk mencari wang, wang boleh diguna untuk mencari ilmu. Rupa boleh diguna untuk mencari wang, wang juga boleh diguna untuk mencantikkan rupa.

Secara umumnya, kelebihan seseorang itu boleh digunakan untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya. Itulah kenapa saya katakana semua manusia itu sama. Mungkin itu juga sebab mengapa ALLAH tidak akan mengubah sesuatu kaum itu melainkan kaum itu mengubahnya sendiri, kerana ALLAH mahu kita menyedari apakah kelebihan dan kekurangan yang kita miliki di samping sentiasa mengharapkan bantuan dari-Nya. Jadi, kenapa anda masih mahu membezakan diri anda dengan orang lain? Hentikan ucapan seperti “kau pandai, kau banyak duit, kau ada itu, ini,” kerana disebalik apa yang orang lain ada, anda juga mampu memilikinya. Sebab itulah ALLAH menyebut bahawa manusia ini adalah makhluk yang sempurna, kerana kita semua dicipta sama sahaja, hanya sistem yang dicipta manusia yang membezakan kita dengan manusia lain.

Marilah bersama-sama berharap agar kita tidak lagi menggunakan ayat-ayat negatif dan menganggap bahawa kita semua serupa. Kita boleh mengadakan sesuatu yang kita tidak ada. Begitulah hebatnya kita ini selaku manusia. Akhir kata, semoga coretan panjang kali ini memberi kesan kepada saya mahupun anda yang faham akan isi kandungannya. Sekian, terima kasih kerana sudi membaca sehingga ayat ini.

p/s: Susunan perenggan agak kurang menarik kerana Microsoft Word menggunakan cara yang lain untuk mengira perkataan yang ditulis dalam bahasa Melayu. Harap maaf.

No comments:

Post a Comment